Selalu sangat dengar mengenai veneer dan keliru sama ada porcelain veneer atau composite veneer, masih tak jelas lagi apa fungsi, prosedur dan kos yang terlibat kan? Jangan risau. Dalam perkongsian sebelum ini, kami ada kongsikan mengenai composite veneer, jadi dalam perkongsian kali ini, kami nak kongsikan mengenai porcelain veneer pula.
Baca Juga : Composite Veneer – Semua Yang Anda Perlu Tahu
Apa Fungsi Porcelain Veneer?

Sama seperti composite veneer, kedua-duanya digunakan untuk menjadikan penampilan gigi anda lebih cantik. Bila gigi anda cantik, senyuman anda akan menjadi lebih menawan dan keyakinan anda juga akan bertambah.
Ramai sebenarnya yang berasa kurang yakin dengan diri mereka sekiranya gigi mereka tidak tersusun, patah sedikit, pecah, senget, dan tidak sekata dari segi warna atau bentuk. Hal ini sedikit sebanyak akan menjejaskan keyakinan mereka terutamanya untuk berdepan dengan orang lain.
Ia merupakan salah satu rawatan alternatif selain daripada composite veneer yang mana bahan tersebut akan dilekatkan pada bahagian hadapan gigi anda untuk membaiki segala masalah yang disebutkan tadi.
Beza Porcelain Veneer & Composite Veneer
a. Bahan
Kedua-duanya menggunakan bahan yang berbeza namun kegunaannya adalah sama iaitu untuk dilekatkan pada bahagian hadapan gigi. Bahan yang digunakan adalah seperti mana namanya iaitu porcelain (bahan seramik) yang dihasilkan di makmal dan juga composite (resin/bahan tampalan).
b. Masa

Dari segi masa, proses composite veneer dapat diselesaikan dengan lebih cepat. Biasanya rawatan dapat disiapkan dalam satu temujanji. Doktor gigi anda akan memilih resin yang paling sesuai dan serasi dengan shade warna gigi anda yang lain untuk menghasilkan kesan warna gigi semulajadi.
Bagi porcelain veneer pula, ia biasanya memerlukan sekitar tiga kali temujanji dengan doktor gigi anda. Selalunya pada lawatan pertama doktor gigi akan memeriksa terlebih dahulu keadaan gigi anda sama ada sesuai untuk melakukan rawatan tersebut atau tidak dan merancang rawatan. Dalam lawatan kedua, lapisan hadapan gigi akan dikurangkan dan dinipiskan. Seterusnya, acuan akan diambil dan dihantar ke makmal pergigian.
Veneer sementara akan diberikan untuk melindungi gigi sementara menunggu porcelain veneer anda siap. Sebaik sahaja ia siap, anda akan dipanggil datang dalam lawatan ketiga untuk prosedur penyimenan di mana ia akan dilekatkan pada permukaan gigi secara kekal.
c. Ketahanan

Dari segi ketahanan, jika anda menjaga kebersihan gigi anda dengan baik, porcelain veneer mampu untuk bertahan sekitar 10 ke 15 tahun. Bagi composite veneer pula, biasanya ia mampu untuk bertahan selama 4 ke 8 tahun.
Walaupun porcelain merupakan bahan yang rapuh, sebaik sahaja ia dilekatkan pada gigi yang sihat dan kebersihan mulut dijaga dengan baik, ia mampu untuk bertahan lama. Composite juga mampu untuk bertahan lama namun tidak selama porcelain dan ia juga lebih mudah untuk pecah.
Porcelain veneer tidak boleh dibaiki jika berlaku kerosakan dan perlu diganti. Manakala kerosakan pada composite veneer boleh dibaiki.
d. Estetik

Ciri yang ada padanya membolehkan ia untuk memerangkap cahaya sama seperti apa yang boleh dilakukan oleh gigi asli membuatkan nilai estetiknya tidak dapat ditandingi oleh composite veneer.
Selain itu, porcelain juga mempunyai ciri dimana ia sukar untuk kotor. Jika anda menggunakan composite, ia akan perlahan-lahan menjadi kotor sama seperti gigi asli anda.
Seperkara lagi yang anda perlu tahu adalah, porcelain veneer tidak boleh diubah kembali jika anda tidak berpuas hati dengannya. Bagi composite veneer, anda masih boleh melakukan perubahan.
e. Kos Porcelain Veneer
Harga porcelain veneer atau kos porcelain veneer adalah lebih mahal daripada composite veneer. Pemasangan porcelain memerlukan lebih masa, kepakaran dan sumber. Juruteknologi makmal pergigian juga terlibat dalam urusan ini.
Namun, apabila difikirkan semula, kos untuknya akan menjadi seakan-akan sama dengan kos composite veneer yang telah dibuat jika ianya perlu dibaiki atau diganti.
Sekian sahaja perkongsian kali ini daripada kami di Artisan Dental. Kalau anda mempunyai sebarang soalan mengenai porcelain veneer, anda boleh terus berhubung dengan kami. Begitu juga dengan hal-hal lain berkaitan pergigian, kami akan membantu anda dengan sebaiknya.